Banyak jenis bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan oleh pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing. Hal yang sama juga di bawah Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada tahun lalu.
Antara bantuan yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024 adalah bantuan tambahan STR yang dikenali sebagai Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Ini adalah penjelasan lanjut tentang bantuan tambahan ini: –
Bantuan Tambahan STR
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah bantuan tambahan yang diberikan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menepati syarat-syarat khusus. Pada tahun ini, pelbagai penambaikan terhadap SARA juga dilaksanakan iaitu:
- Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
- Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600; dan
- Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
SARA bagi tahun 2024 dijangka akan memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta. Ini sekaligus melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lalu.
Syarat-syarat Kelayakan Bantuan Tambahan STR
- Warganegara Malaysia;
- Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.
Cara Pembayaran
Terdapat dua kaedah utama pembayaran SARA iaitu bagi penerima dari Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak, Labuan. Berikut adalah penjelasannya:
Penerima daripada negeri Semenanjung Malaysia (selain Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan)
Penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2024 – Disember 2024) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima. Penerima SARA boleh membeli barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan di pasar raya / kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
Penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan
Bayaran RM600 / RM300 dua kali setahun (19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024) mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Cara Menggunakan SARA
Bagi mereka yang menerima bantuan ini melalui MyKad, ia boleh digunakan membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar. Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 600 rakan runcit di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Lulu Supermarket, serta pasar raya dan pasar mini bebas.
Antara barangan keperluan yang boleh dibeli adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan. Barangan keperluan asas yang terlibat dengan program SARA akan dilabel untuk rujukan penerima.
Dimaklumkan bahawa baki elaun bulanan yang tidak habis digunakan akan dibawa ke bulan-bulan seterusnya dan boleh digunakan bersama dengan elaun bulan semasa. Namun begitu, sebarang baki elaun yang tidak digunakan sepenuhnya pada akhir tempoh program iaitu 31 Disember 2024 akan luput secara automatik.
Untuk maklumat lebih teliti berkenaan SARA, sila rujuk di Portal Rasmi MyKasih – DI SINI.