Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan di peringkat Persekutuan atau Negeri sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Ia termasuklah bantuan-bantuan bulanan diperkenalkan sebagai salah satu usaha subsidi bersasar kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan. Antaranya dengan perkenalan Program BUDI MADANI kepada rakyat Malaysia seperti mana yang diumumkan baru-baru ini.
Berikut adalah maklumat lanjut tentang program bantuan kerajaan terbaru ini : –
Bantuan Kerajaan RM200 sebulan di bawah BUDI MADANI
BUDI MADANI adalah sebuah program Kerajaan yang memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak. Untuk memastikan kebajikan majoriti rakyat terus terpelihara, BUDI MADANI ini diwujudkan sebagai platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan. Kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu terus mendapat subsidi bagi mengawal harga barangan, manakala individu terpilih diberikan bantuan tunai bagi membendung kenaikan kos sara hidup.
BUDI MADANI terbahagi kepada tiga kategori iaitu MySubsidi Diesel iaitu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dengan platform khusus untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih terus mendapatkan subsidi diesel melalui “fleet card”.
Keduanya, BUDI Agri-Komoditi yang merupakan bantuan subsidi tunai golongan petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan Kementerian terlibat untuk dimanfaatkan susulan kenaikan kos diesel jentera pertanian yang digunakan.
Ketiga adalah BUDI Individu – bantuan subsidi tunai kepada pemilik kenderaan diesel individu dengan syarat kelayakan tertentu. Bantuan ini dapat menampung kenaikan kos pengangkutan harian individu yang menggunakan kenderaan diesel.
Kadar BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Individu adalah sebanyak RM200 sebulan dan boleh dimohon oleh mereka yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Syarat-syarat Kelayakan
Bagi BUDI Agri-Komoditi, mereka yang boleh memohon adalah dengan syarat-syarat kelayakan berikut:
- Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
- Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
Manakala, BUDI Individu pula kepada mereka dengan kelayakan di bawah:
- Pemohon merupakan warganegara Malaysia;
- Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
- Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif;
- Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
Cara Memohon BUDI MADANI
BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Individu boleh dimohon secara atas talian di Portal Rasmi BUDI MADANI dengan mendaftar di sistem yang disediakan. Permohonan juga dibuka sepanjang tahun.
Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima pembayaran BUDI MADANI pertama menjelang pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.
Untuk yang permohonannya diluluskan selepas 3 Jun 2024, mereka akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.
Ia akan dikreditkan terus ke akaun penerima yang diluluskan. Bagi penerima yang tiada akaun bank – mereka boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.
Untuk permohonan MySubsidi Diesel pula, ia boleh dibuat di Portal mySubsidi KPDN.
SERTAI TELEGRAM: https://t.me/berikerja2021
Bagi maklumat lebih lengkap berkenaan program ini, ia boleh dirujuk di Portal Rasmi BUDI MADANI (DI SINI) atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat [email protected].
Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.