Pengeluaran bersyarat KWSP RM3,000 – RM50,000 masih dibuka: Mereka yang layak & cara memohon

Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Bantuan-bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan sesuai dengan tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.

Antaranya adalah apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran bersyarat melalui sebuah insiatif yang dikenali sebagai Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2).

Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan fasiliti berkenaan: –

Pengeluaran bersyarat KWSP

Untuk makluman, pihak Kerajaan melalui KWSP telah memperkenalkan sebuah kemudahan yang dikenali sebagai Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2).

Fasiliti ini pada asasnya membolehkan para ahli KWSP  membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 tahun atau 55 tahun bagi membantu mereka mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Ahli akan mengambil kira simpanan yang ada dalam Akaun 2 mereka bagi mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan terlibat.

Setelah permohonan  diluluskan, pembayaran pengeluaran itu perlu dibuat kepada pihak institusi perbankan apabila ahli mencapai usia 50 tahun hingga 55 tahun tertakluk kepada pilihan umur pengeluaran ahli.

Syarat-syarat Kelayakan

  • Terbuka kepada ahli KWSP yang belum mencapai umur 55 tahun;
  • Warganegara Malaysia;
  • Permohonan adalah sekali sahaja;
  • Permohonan yang telah lulus tidak boleh dibatalkan;
  • Amaun simpanan minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP;
  • Amaun maksimum bagi pengeluaran bersyarat tidak melebihi RM50,000 dalam Akaun 2 (tertakluk kepada amaun pembiayaan peribadi yang diluluskan oleh institusi perbankan).

Cara Memohon

Bagi ahli yang memenuhi syarat-syarat kelayakan, permohonan fasiliti ini boleh dibuat secara dalam talian (online) melalui institusi perbankan terlibat.

Pada masa ini, terdapat dua institusi perbankan yang terlibat iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank Berhad.

Untuk makluman cara memohon, berikut adalah tatacaranya:

  • Langkah 1: Membuat semakan awal kelayakan simpanan Akaun 2 KWSP melalui portal institusi perbankan yang mengambil bahagian;
  • Langkah 2: Membuat permohonan pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh institusi perbankan;
  • Langkah 3: Mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan KWSP melalui portal institusi perbankan, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

Untuk maklumat lebih teliti berkenaan fasiliti ini, sila rujuk di Portal Rasmi KWSP – DI SINI.

Related Posts