Terdapat pelbagai jenis bantuan yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Antaranya adalah melalui agensinya yang dikenali sebagai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Untuk makluman, pembayaran bantuan kewangan bulanan daripada JKM bagi bulan Jun 2022 akan disalurkan kepada yang layak dari 01 hingga 10 Jun 2022. Berikut adalah senarai bantuan-bantuan yang akan disalurkan:
Bantuan Kanak-Kanak
Bantuan Kanak-Kanak (BKK) adalah bantuan yang diberikan bagi membantu keluarga / penjaga kepada anak / kanak-kanak atau membantu anak / kanak-kanak yang tiada /kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup. Jumlah bayarannya adalah seperti berikut:
- RM200 seorang bagi anak berumur 6 tahun & ke bawah;
- RM150 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun;
- RM1,000/keluarga sebulan (maksimum).
Bantuan Anak Pelihara
Bantuan Anak Pelihara (BAP) adalah bantuan kepada anak-kanak yang kurang bernasib baik, yatim /yatim piatu, tidak mempunyai saudara-mara supaya terus tinggal di dalam masyarakat bersama-sama dengan keluarga pelihara. Nilainya adalah RM250 sebulan seorang kanak-kanak dan maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara 2 orang kanak-kanak atau lebih.
Bantuan Am Negeri
Bantuan Am Negeri diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan dan berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti. Jumlah minimum bantuan ini adalah RM100 sebulan seorang dan maksimum RM350 sekeluarga.
Bantuan Warga Emas
Bantuan kepada warga emas ini diberikan kepada untuk mereka meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti. Mereka yang layak akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 seorang.
Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya
Insentif ini diberikan bagi menggalakkan OKU untuk terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif. Mereka yang layak dan diluluskan permohonannya boleh menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM450.
Untuk senarai penuh bantuan-bantuan JKM dan syarat-syarat kelayakan serta cara memohonnya boleh dirujuk di portal rasmi JKM atau DI SINI.