Semakan status pengeluaran KWSP dibuka esok: Ini cara nak tahu permohonan lulus atau tidak

Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, pihak kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000.

Ia sekaligus menjadi kesinambungan pengeluaran-pengeluaran sebelum ini iaitu melalui i-Sinar i-Lestari dan i-Citra. Antara syarat-syarat utama kelayakan untuk membuat pengeluaran khas ini adalah:

  • Ahli KWSP yang berumur di bawah umur 55 tahun, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap;
  • Mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan.

Berkenaan dengan amaun pengeluaran, ini adalah kriteria yang telah ditetapkan:

  • Amaun kelayakan pengeluaran adalah sehingga maksimum RM10,000;
  • Amaun pengeluaran minimum adalah RM50;
  • Meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1;
  • Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses.

Simpanan minimum RM100 itu perlu dikekalkan dalam Akaun 1 kerana ahli KWSP dapat mengekalkan status sebagai ahli dan terus menikmati manfaat sebagai ahli KWSP.

Semakan Status Permohonan

Seperti mana yang diumumkan oleh pihak KWSP, permohonan pengeluaran khas ini dibuka selama sebulan iaitu dari 1 April sehingga 30 April 2022.

Berkenaan dengan semakan status permohonan, ia boleh dibuat secara atas talian (online) mulai 9 April 2022 melalui portal Pengeluaran Khas KWSP. Caranya dengan layari portal berkenaan (DI SINI) dan pergi pada menu ‘Semak Status Permohonan’.

Selain itu, semakan juga boleh dibuat melalui i-Akaun KWSP (DI SINI) dengan kaedah log masuk dan klik pada menu ‘Pengeluaran’ dan seterusnya pilih ‘Sejarah Pengeluaran’.

Bagi yang diluluskan permohonan mereka, pengkreditan amaun ke akaun bank ahli akan dilaksanakan bermula pada 20 April 2022, Rabu.

Related Posts