Dalam usaha memudahkan urusan dan meringankan beban mereka yang terjejas, pihak kerajaan telah memperkenalkan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Keputusan itu dibuat setelah pihak kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Berikut adalah penjelasan lanjut mengenainya:
Syarat-syarat Pengeluaran Khas KWSP
Pengeluaran khas ini hanya terbuka kepada ahli KWSP yang berumur di bawah umur 55 tahun, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap.
Ia juga terbuka kepada mereka yang mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan.
Selain itu, terdapat juga syarat amaun untuk pengeluaran khas ini, berikut adalah syarat-syaratnya:
- Amaun kelayakan pengeluaran adalah sehingga maksimum RM10,000;
- Amaun pengeluaran minimum adalah RM50;
- Meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1;
- Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses.
Penggantian Semula Amaun Pengeluaran
Sebenarnya terdapat satu maklumat yang ramai telah terlepas pandang berkenaan dengan pengeluaran khas ini. Ia adalah mengenai penggantian semula amaun pengeluaran dengan tambahan 20 peratus.
Berdasarkan penjelasan di Soalan-soalan Lazim (FAQ) KWSP, ahli perlu membuat penggantian ini pada caruman untuk bulan berikutnya. Ilustrasinya adalah seperti berikut:
- Amaun Pengeluaran Khas: RM10,000
- 20 peratus daripada amaun pengeluaran: 20% x RM10,000 = RM2,000
- Amaun penggantian semula: RM10,000 + RM2,000 = RM12,000
Kaedahnya adalah caruman baharu ahli yang diterima akan dikreditkan 100% ke dalam Akaun 1 termasuklah tambahan 20% lagi daripada amaun yang telah dikeluarkan.
Setelah penggantian semula selesai, caruman ahli akan kembali seperti biasa iaitu 70% ke dalam Akaun 1 dan 30% ke dalam Akaun 2.
Maksudnya di sini adalah – bukan setiap ahli yang mengeluarkan simpanan mereka perlu membayar semula amaun yang dikeluarkan, sebaliknya KWSP akan mengubah nisbah caruman seterusnya seperti yang dijelaskan di atas tadi.
Untuk maklumat terperinci berkenaan perkara ini, sila baca secara teliti di portal rasmi Pengeluaran Khas KWSP atau DI SINI.