Pelbagai pakej bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan atau syarikat korporat sebelum ini. Terdapat pakej bantuan yang baru diperkenalkan dan terdapat pakej bantuan yang sudah lama diperkenalkan, tapi masih lagi diteruskan sehingga kini.
Salah satu pakej bantuan yang masih diteruskan adalah bantuan kewangan BAKTIDESA yang mungkin ramai terlepas pandang. Berikut adalah maklumat terperinci mengenai bantuan BAKTIDESA yang anda perlu tahu jika berkelayakan.
Maklumat Ringkas Bantuan BAKTIDESA
Melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Bantuan Pendidikan BAKTIDESA KPLB dimulakan pada 21 Julai 2005 dengan tujuan untuk menyediakan satu (1) mekanisme bantuan kewangan kepada pelajar miskin/miskin tegar di LUAR BANDAR yang memohon untuk mendapatkan sumber bantuan kewangan sebagai persediaan melanjutkan pelajaran.
Bantuan yang disediakan adalah berbentuk pemberian secara “one off” sebagai persediaan untuk memasuki institusi pendidikan berkaitan yang telah diiktiraf seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), MRSM, Sekolah Harian/Agama Berasrama, Pusat Matrikulasi, Pusat Pengajian (Latihan/Pendidikan) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Kadar Bantuan Yang Diberikan
Jenis Bantuan: Bantuan Persediaan Kemasukan ke Sekolah/Institusi Pengajian
- Bagi Peringkat SBP,MRSM,Sek.Harian/Agama Berasrama, Pusat Matrikulasi, Pusat Pengajian (Latihan/ Pendidikan bertaraf Sijil), kadar bantuan adalah sebanyak RM500
- Bagi Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)/Pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Pertama, kadar bantuan adalah sebanyak RM1,000
Syarat Kelayakan Pemohon
Syarat-syarat yang melayakkan pelajar untuk memohon Bantuan Pendidikan BAKTIDESA KPLB adalah seperti berikut:
- Pemohon mestilah warganegara Malaysia;
- Jumlah pendapatan keluarga pemohon adalah sepertimana yang tercatat pada Jadual Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2016 di bawah;
- Telah ditawar/diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Harian/ Agama Berasrama, Pusat Matrikulasi, Institut Latihan Kemahiran yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA);
- Kursus dan bidang latihan yang dijalani perlu mendapat pengiktirafan badan-badan Kerajaan seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), JPK atau badan-badan lain yang berkaitan; dan
- Permohonan perlu dikemukakan selewatnya dalam tempoh enam (6) bulan setelah memulakan pengajian.
Cara Memohon Bantuan
Sila muat turun dan lengkapkan borang permohonan di pautan berikut: https://ebantuan.rurallink.gov.my/v2/index.php?data=Ym9yYW5nLnBocA== (KLIK SINI)
Borang permohonan yang telah lengkap diisi perlulah disertakan dengan dokumen-dokumen seperti di bawah. Semua salinan dokumen perlu disahkan oleh pegawai kerajaan daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Penghulu, Pengerusi JPKK, Ketua Kampung atau individu yang berkaitan.
- Salinan Kad Pengenalan Pemohon;.
- Salinan Surat Tawaran Masuk ke SBP/MRSM/ Sekolah Asrama Harian/Institusi Latihan Kemahiran dan Institut Pengajian Tinggi Awam;
- Salinan Pengesahan Pendaftaran masuk ke SBP/MRSM/Sekolah harian/Institusi Latihan Kemahiran dan Institut Pengajian Tinggi Awam;
- Salinan Penyata Pendapatan Bulanan/Slip gaji bulanan ayah/ibu atau waris/penjaga pemohon yang telah disahkan. Bagi pihak yang tidak mempunyai penyata pendapatan bulanan/slip gaji, pengesahan pendapatan adalah daripada Penghulu, Pengerusi MPKK, Ketua Kampung atau individu yang berkaitan; dan
- Salinan muka hadapan Buku Akaun Bank/Penyata Ringkas Akaun Bank pemohon yang aktif. Akaun Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Nasional (ASB) adalah tidak diterima.
Borang serta dokumen hendaklah dihantar ke alamat berikut:
URUS SETIA AKAUN AMANAH BAKTIDESA KPLB,
Bahagian Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat,
Kementerian Pembangunan Luar Bandar,
Aras 24, No 47,Persiaran Perdana, Presint 4,
62100 PUTRAJAYA.
No. tel : 03-8891 2237/2225/2215