Ini Senarai Bantuan B40 & M40 Yang Diumumkan PM Ismail Sabri Dalam Perhimpunan Agung UMNO Yang Perlu Anda Tahu

Bagi mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan kewangan, berita gembira untuk anda semua kerana Perdana Menteri, DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB telah mengumumkan beberapa bantuan untuk rakyat.

Pengumuman ini telah dilakukan dalam ucapan beliau di Ucapan Penggulungan Naib Presiden UMNO baru-baru ini. Berikut adalah senarai bantuan kepada rakyat yang memerlukan yang akan dilaksanakan.

1. Gaji Minimum

Kerajaan akan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara. Kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam keputusan ini dibuat termasuk kesannya kepada PMKS. Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum ini hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.

2. Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi memanfaatkan lebih ramai iaitu hampir 9 juta penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM8.2 bilion pada hujung bulan ini.

3. Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM)

Pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan ramai golongan M40 tergelincir kepada B40. Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi sedang melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025.

BMTKM akan melibatkan kerjasama strategik dengan semua pihak, Kerajaan Negeri, kementerian-kementerian, pemimpin setempat, universiti tempatan, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

4. Bantuan Wanita

Enam inisiatif bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa. Sebagai contoh isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah. Juga kita akan beri Sebanyak 30 peratus kuota wanita dalam Lembaga Pengarah GLC/GLIC.

Kerajaan akan menyekat atau membekukan akaun bank golongan suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri. Tindakan itu dibuat kerajaan bagi memastikan kepentingan dan hak wanita dapat terus dijaga kerana lazimnya bekas isteri sukar untuk mendapatkan nafkah selepas perceraian.

5. Pekerjaan

Kerajaan telah melancarkan inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan yang merangkumi;

  • Insentif Penggajian,
  • Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek
  • Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran

Bagi memantau dan memastikan sasaran ini berjaya untuk memberi peluang kepada anak muda, graduan lepasan universiti dan pencari kerja, Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh PM sendiri akan mengerahkan seluruh agensi kerajaan, Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC) untuk turut menjayakan perancangan ini.

6. Bantuan Peniaga

Kerajaan juga memperkenalkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion sekali gus memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor informal seperti peniaga-peniaga kecil.

Melalui program ini, contohnya, Kerajaan menyediakan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM dan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu tanpa faedah. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu tanpa faedah berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

7. Bantuan Rumah

Kerajaan melancarkan program Satu Keluarga, Satu Rumah yang menumpukan usaha pemilikan rumah untuk generasi belia dan pembinaan perumahan di kawasan bandar kecil. Sebanyak 500,000 buah rumah akan dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

Bagi memastikan matlamat ini tercapai, Kerajaan melancarkan inisiatif pembiayaan perumahan, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) dengan dana sebanyak RM2 bilion di bawah Bajet 2022.

Skim ini membantu golongan muda untuk mendapatkan pinjaman dengan lebih mudah walaupun tidak mempunyai slip gaji. Pinjaman ini dijamin oleh Kerajaan.