Permohonan Bantuan Pengusaha Industri Sukan (GPIS)

Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, hampir keseluruhan sektor adalah terkesan dan terkena impak berikutan larangan beroperasi termasuklah sektor sukan dan rekreasi. Larangan ini bertujuan bagi memastikan usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Rentetan daripada larangan tersebut, KBS telah menerima rungutan dan aduan daripada rata-rata pemain dan penggiat industri sukan dan rekreasi yang terkesan. Sehubungan itu, GPIS merupakan inisiatif KBS di dalam memberikan sinergi baharu kepada operator dan pengusaha industri sukan dan rekreasi komersial dengan geran bantuan sebanyak RM3,000 secara one-off.

Berikut merupakan syarat kelayakan permohonan GPIS :

1. Perniagaan / syarikat adalah sah dan berdaftar di Malaysia.
2. Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dengan jumlah pendapatan atau hasil jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM20 juta dan jumlah pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 oprang merangkumi mikro/kecil/sederhana
3. Menjalankan perkhidmatan/operasi berorientasikan industri sukan dan rekreasi komersial merangkumi fasiliti, kemudahan, latihan, akademi, konsultasi dan penganjuran acara sukan.
4. Berdaftar di dalam sistem CIMS 3.0 (notification.miti.gov.my) menerusi kluster sukan
5. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum atau pada 28 Februari 2021
6. Masih aktif menjalankan perniagaan (sijil pendaftaran syarikat/perniagaan masih sah)

Berikut merupakan panduan bagi permohonan GPIS :

1. Mohon secara dalam talian atau secara manual
2. Isi dan lengkapan borang secara dalam talian atau manual
3. Muat naik dan kepilkan dokumen sokongan merangkumi:
i. Salinan sijil pendaftaran dan profil perniagaan/ syarikat yang dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) KECUALI bagi perniagaan di Sabah dan Sarawak.
ii. Salinan sijil pendaftaran/ lesen/ permit PBT bagi perniagaan di Sabah dan Sarawak.
iii. Salinan akaun/ maklumat/ penyata bank perniagaan/ syarikat terkini (tahun semasa 2021).
4. Hantar permohonan/ borang berserta dokumen sokongan secara dalam talian atau manual ke alamat e-mel gpis@kbs.gov.my atau hantar ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS Negeri) dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah/ Bahagian/ Kawasan yang berhampiran.
5. Tunggu keputusan pertimbangan di mana keputusan/ notifikasi akan dihantar ke e-mel yang didaftarkan; dan
6. Bantuan akan dikreditkan ke dalam akaun yang didaftarkan.

GPIS merupakan usaha kerajaan di dalam membantu kumpulan sasar yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 terutamanya dalam sektor sukan dan rekreasi yang memerlukan komitmen dan sokongan kerajaan. Bantuan geran secara one-off diyakini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan impak yang ditanggung para operator/pengusaha industri sukan dan rekreasi komersial yang tidak dapat beroperasi berikutan penguatkuasaan PKP 3.0. Selain itu, GPIS juga dapat menyuntik sinergi baharu bagi mengekalkan model kelestarian perniagaan seterusnya memberikan impak kepada rantaian ekonomi.

Maklumat Lanjut Sila Layari : http://www.kbs.gov.my/geran-prihatin-industri-sukan-gpis.html