Majikan tak boleh caj atau tolak gaji pekerja untuk dapatkan vaksin COVID-19. Ini sebabnya

Penerima vaksin semakin hari semakin meningkat. Bagi para pekerja kilang, kerajaan telah memperkenalkan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) agar syarikat-syarikat boleh menyertainya.

Menariknya, syarikat yang menyertai PIKAS tidak boleh mengenakan sebarang kos vaksinasi kepada pekerjanya.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, berkata majikan juga tidak boleh memotong gaji pekerja, sebaliknya perlu menanggung sepenuhnya sebarang kos daripada pelaksanaan program berkenaan.

Bagi memastikan syarat itu dipatuhi majikan, syarikat perlu menandatangani perjanjian sebelum dibenarkan menyertai PIKAS.

Selain itu, majikan tidak dibenarkan memindahkan kos kepada pekerja, sebaliknya perlu menanggung kos pentadbiran proses vaksinasi atau apa jua kos tambahan untuk melancarkan PIKAS.

PIKAS pertama dilaksanakan di Selangor di Texas Instrument Malaysia Sdn Bhd

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hadir melancar dan melawat pelaksanaan PIKAS yang pertama di Selangor di kilang Texas Instrument Malaysia Sdn Bhd.

Menurut Azmin Ali antara syarat yang perlu dipersetujui majikan termasuklah syarikat perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kos pentadbiran pusat pemberian vaksin (PPV) lapangan, termasuk perkhidmatan petugas perubatan, kakitangan pentadbiran dan anggota keselamatan.

Syarikat perlu menanggung kos vaksinasi penuh pekerja, termasuk sekiranya pekerja itu tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan sebelum sempat menerima dos kedua vaksin.

Syarikat juga tidak dibenarkan menolak kos pentadbiran daripada gaji atau imbuhan pekerja. Syarikat juga bertanggungjawab memastikan kehadiran pekerja di PPV pada hari vaksinasi.

Suntikan percuma vaksin COVID-19 akan merangkumi semua pekerja sektor pembuatan tanpa mengira kewarganegaraan. Suntikan ini akan diberikan kepada rakyat tempatan dan pekerja asing di negara ini.

Sumber: Berita Harian