Pada 26 April lalu, media tempatan melaporkan kes seorang pekerja dari Pakistan, Shahzad Ahmed yang dipercayai telah bertindak membunuh diri di sebuah tapak pembinaan sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 17 April.
Sebelum melakukan tindakan nekad itu, beliau telah menyiarkan video dirinya yang mendakwa majikan gagal membayar gajinya selama beberapa bulan.
Rentetan dari peristiwa tragik itu, majikan pekerja berkenaan, telah dikenakan larangan mengambil pekerja warga asing.
Syarikat itu juga berjanji akan membayar gaji berkenaan selain muhibah sebanyak RM3,175 kepada keluarga Shazad melalui Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia.
Dalam masa sama, majikan turut bersetuju untuk menanggung kos pengangkutan jenazah Shahzad ke Pakistan dan menandatangani surat komitmen dengan Suruhanjaya Tinggi Pakistan.
Akan tetapi, Malaysiakini baru-baru ini melaporkan terdapat percanggahan tentang status siasatan terhadap Shahzad oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Ini kerana, siasatan Jabatan Tenaga Kerja mendapati – majikan Shahzad mengaku beliau adalah pekerja warga asing tanpa dokumen, yang mula bekerja dengan syarikat itu pada Januari 2019.
Bagaimanapun, pihak Polis pula mengesahkan yang Shahzad memiliki permit kerja yang sah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah turut berkata – Shahzad mempunyai permit kerja yang sah dan belum tamat tempoh.
“Sebagai rekod, mangsa memiliki semua dokumen, termasuk pasport dan permit kerja yang masih sah,” katanya, petikan dari Malaysiakini.
Polis seterusnya menutup kes dan mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Namun begitu, pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ketika dihubungi Malaysiakini tetap menegaskan pemeriksaannya dengan Jabatan Imigresen mendapati Shahzad – tidak mempunyai permit kerja (PLKS) yang sah.
Disebabkan dapatan itu, agak sukar untuk pihak JTK mengambil tindakan lebih lanjut terhadap majikan kerana beliau adalah pekerja warga asing tanpa dokumen.
Ia kerana, pekerja asing tanpa dokumen tidak mempunyai izin kerja atau kontrak pekerjaan, yang menjadi bukti penting untuk mendakwa majikan yang terlibat di mahkamah.
Makanya, JTK hanya boleh menyenaraihitamkan syarikat itu, dengan melarangnya dari mengambil pekerja asing di masa akan datang.
Jabatan itu juga berkata mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan kes seperti itu berulang, termasuk dengan melancarkan portal dalam talian untuk membolehkan pekerja membuat aduan. – Petikan Malaysiakini.
Sumber: Malaysiakini.