Tular video lori bawa pekerja kilang bergelang pink beramai-ramai. Ini apa yang berlaku

Negara kita masih berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Demi menjaga ekonomi negara, beberapa majikan dan syarikat dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Kelonggaran ini telah diambil kesempatan oleh beberapa pihak seperti yang berlaku di Kedah baru-baru ini, apabila sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong, dikesan membenarkan sekumpulan pekerjanya yang positif COVID-19 menaiki lori beramai-ramai sebelum ditahan pada 13 Jun lalu.

Seramai 48 pekerja yang baru dipakaikan gelang merah jambu didapati menaiki lori untuk pulang ke asrama penginapan mereka, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, terdahulu video dan beberapa gambar sebuah lori tular di media sosial menyebabkan pihak polis berusaha mengesannya.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kemudian mengesan lori itu sebelum berjaya menahannya ketika sedang dalam perjalanan pulang ke Sungai Lalang.

“Hasil siasatan mendapati terdapat kes positif dikesan di sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong dan 135 pekerjanya diarah ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bagi dipakaikan gelang merah jambu.

“Dipercayai majikan kilang berkenaan mengatur tiga kali perjalanan lori terbabit untuk membawa semua 135 pekerja yang positif COVID-19,” katanya¬†

Seramai 48 pekerja kilang berada dalam lori itu dikesan positif COVID-19

Orang ramai yang menyaksikan tindakan lori membawa pekerja terbabit bertindak merakam video dan gambar, menyebabkan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan.

Lori yang ditahan kereta peronda polis itu membawa kumpulan terakhir pekerja kilang untuk pulang ke asrama.

“Seramai 48 pekerja kilang berada dalam lori itu dikesan positif COVID-19 dengan keadaan tangan bergelang merah jambu dan diarah dikuarantin di asrama.

“Pemandu lori itu kemudian disaman kerana kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain,” katanya.

Pihak pengurusan kilang turut disiasat Seksyen 22 (b) Akta 342 kerana kesalahan tidak mematuhi perintah dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.

Sumber: Berita Harian