250 pekerja memfailkan lima aduan. Mahkamah arahkan Goodyear Malaysia bayar upah mereka

Pekerja dan majikan perlu mempunyai sikap saling mempercayai dan bertolak ansur. Kepercayaan yang diberikan oleh majikan, tidak bermakna, sesebuah syarikat itu boleh berbuat sesuka hati kepada pekerja mereka.

Mahkamah Perusahaan Malaysia pada 10 Jun lalu memutuskan untuk memihak kepada lebih 100 pekerja asing berhubung pertikaian eksploitasi buruh terhadap pengeluar tayar Amerika Goodyear Tire & Rubber Co.

Ia berikutan dakwaan membabitkan upah yang tidak dibayar dan eksploitasi pekerja di kilang milik syarikat itu di ibu negara.

250 pekerja asing memfailkan lima aduan terhadap Goodyear Malaysia

Sepanjang tahun 2019 dan 2020, kira-kira 250 pekerja asing memfailkan lima aduan terhadap Goodyear Malaysia kerana tidak mematuhi perjanjian buruh kolektif, dan menuntut upah yang belum dibayar kia-kira RM5 juta.

Pekerja mendakwa Goodyear, antara pembuat tayar terbesar di dunia, tidak memberi mereka elaun syif, bonus tahunan dan kenaikan gaji walaupun faedah ini dinikmati kakitangan tempatan, yang diwakili oleh kesatuan sekerja.

Goodyear Malaysia berpendapat bahawa pekerja asing tidak mempunyai kedudukan yang sah untuk memfailkan aduan tersebut kerana mereka bukan anggota kesatuan. Pekerja terbabit berasal dari Nepal, Myanmar dan India.

Menerusi tiga keputusan bertarikh 9 Jun dan diterbitkan, Presiden Mahkamah Perusahaan Rasidah Chik menolak hujah Goodyear, memerintahkan firma itu untuk membayar gaji yang sepatutnya dibayar kepada 109 pekerja dan mematuhi perjanjian kolektif.

“Jelas, pengadu telah membuktikan bahawa mereka semua dilindungi dalam skop perjanjian kolektif dan dengan itu mereka layak untuk menerima faedah yang diberikan,” kata Rasidah.

Goodyear gagal dihubungi untuk mengulas lanjut.

“Ini hanyalah permulaan, banyak lagi perkara membabitkan layanan buruk terhadap pekerja asing di syarikat ini yang perlu didedahkan,” kata peguam yang mewakili pekerja tersebut, Chandra Segaran Rajandran.

Mereka akan terus mencari manfaat pekerja lain yang telah ditolak dalam perjanjian kolektif tersebut, termasuk tunggakan pembayaran lebih masa dan elaun lain, tambahnya.

Mahkamah juga telah memutuskan untuk memihak kepada pekerja asing dalam dua kes tahun lalu. Goodyear mencabar kedua-dua keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Goodyear juga berdepan dakwaan kerja lebih masa yang tidak sah, pemotongan gaji yang salah, menafikan akses penuh pekerja ke atas pasport mereka, dan ancaman terhadap pekerja asing.

Sumber: FMT