“Bersikap sambil lewa dan tidak cekap.” Penjawat awam dikritik padu oleh Ketua Pengarah

Penjawat awam adalah antara golongan pekerja yang kurang terjejas apabila pandemik COVID-19 melanda. Namun, sikap sesetengah mereka ini telah menerima teguran padu dari Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman  menegur penjawat awam yang disifatkan oleh orang ramai masih bersikap sambil lewa dan tidak cekap dalam memberikan perkhidmatan.

“Kita dilantik untuk membantu kerajaan menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi rakyat dan bukannya harapkan pangkat yang lebih tinggi kerana gaji serta elaun penjawat awam masuk (dibayar) seperti biasa. Mereka (penjawat awam) kena hargai perkara ini.

“Ingin saya ingatkan, jangan ambil sikap sambil lewa. Perlu kikis budaya lama. Penjawat awam perlu sedar apabila rakan-rakan lain (pekerja sektor swasta) berhadapan dengan ‘retrenchment’ ketika COVID-19, mereka langsung tidak terjejas,” katanya

Penjawat perlu ambil iktibar dari kesusahan yang dihadapi pekerja sektor swasta

Tan Sri Mohd Khairul Adib juga mahu penjawat awam mengambil iktibar daripada situasi sukar yang dialami pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri yang kebanyakannya terjejas sumber pendapatan ketika negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.

Oleh itu, penjawat awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap tahap kecekapan perkhidmatan awam dalam menguruskan setiap urusan.

Tingkatkan mutu perkhidmatan dan semangat untuk tunaikan amanah yang diberikan iaitu berkhidmat kepada masyarakat bagi memastikan aspirasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna,

Menurutnya lagi, jika setiap penjawat awam mengamalkan sikap berintegriti dan beramanah dalam menjalankan tugas, persepsi negatif tersebut dapat ditangkis sekali gus meningkatkan imej penjawat awam.

Mahu penjawat awam meningkatkan pengetahuan berkaitan teknologi baharu

Bagi memastikan perkhidmatan sektor awam kekal relevan, beliau mahu penjawat awam meningkatkan ilmu dan pengetahuan, terutamanya berkaitan teknologi baharu, supaya kemahiran serta kecekapan sedia ada dapat diperkasakan selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital yang dilancarkan awal tahun ini.

Penjawat awam juga harus mengukur produktiviti penyampaian kerja masing-masing berlandaskan Rangka Tindakan Produktiviti yang memfokuskan pada produktiviti sebagai sumber pertumbuhan baharu negara.

Katanya peningkatan produktiviti adalah hasil daripada kemajuan teknologi serta kecekapan pengurusan ekonomi secara keseluruhan.

Sumber: Astro Awani