Polis kantoikan individu yang guna pas pekerjaan untuk beraya di kampung

Seperti yang kita semua tahu, pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, perubatan, pendidikan, kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

Oleh kerana kerinduan menyambut hari raya di kampung, orang ramai telah menggunakan pelbagai kaedah bagi tujuan merentas sempadan. Terbaru, polis berjaya mengesan taktik penyalahgunaan pas pekerjaan oleh segelintir individu untuk merentas negeri bagi tujuan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menurut, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, taktik tersebut dikesan selepas pemeriksaan secara terperinci dilakukan ke atas dokumen yang dikemukakan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

Pemeriksaan yang diperketatkan dilakukan bagi mengelak cubaan melepasi SJR tanpa kebenaran sah dan setakat ini sebanyak 1,333 buah kenderaan telah diarahkan berpatah balik atas pelbagai alasan tidak munasabah.

“Banyak kenderaan kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Bentong ni diperiksa satu persatu secara teliti dan apa yang saya nak beritahu memang banyak cubaan-cubaan yang sedang dibuat untuk melepasi sekatan jalan raya menggunakan berbagai-bagai taktik.

“Misalnya, di Bentong banyak yang menggunakan pas-pas pekerjaan untuk melepasi sekatan jalan raya sedangkan tujuan utamanya untuk balik beraya di kampung,” – katanya

SJR ini dilakukan bagi memastikan tiada individu menyalah guna atau mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Katanya lagi, masyarakat seperti terlupa tujuan SJR dilaksanakan iaitu bukan untuk menyusahkan mereka, sebaliknya mahu menyekat penularan jangkitan COVID-19.

Related Posts