Pemandu peribadi dipukul dan diugut tembak oleh majikan. Ini cerita penuhnya

Tindakan seorang ahli perniagaan memukul dan mengugut untuk menembak pemandu peribadinya mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 28 tahun yang memaklumkan dia diugut majikannya berusia 53 tahun ketika berada di rumah suspek di Country Height, pada 9.15 pagi.

“Kejadian berlaku pada 1.22 pagi semalam, ketika mangsa dan suspek tiba di rumahnya selepas baru pulang dari Kuala Lumpur.

Mangsa dan suspek bertengkar dan ketika itu, majikannya mengugut untuk menembak lelaki terbabit sekiranya dia keluar dari rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, suspek ada mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa dan menendangnya di bahagian bahu.

Mangsa terpaksa minta bantuan orang ramai untuk melarikan diri

Beliau berkata, suspek turut merosakkan motosikal milik mangsa dan menyebabkannya terpaksa meminta bantuan orang ramai untuk melarikan diri sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan.

“Susulan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang pada 4.50 petang semalam.

“Suspek direman selama dua hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/506/427/341 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut seksyen berkenaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, melakukan perbuatan khianat serta melakukan halangan salah terhadap mangsa.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohamad Khir di talian 014-5307540 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, satu video berdurasi tiga minit 29 saat menunjukkan pemandu berkenaan merakam majikannya yang mengugut dan menendangnya di hadapan rumah ahli perniagaan terbabit tular di media sosial.

…..

Banyak lagi jawatan kosong terkini di Channel Telegram Jawatan Kerja ==> https://t.me/jawatankerja

Mohon share di group-group, serta saudara mara, rakan-rakan dan jiran tetangga yang sedang mencari pekerjaan. #kitabantukita