Pelakon dan anak seni legenda, Abu Bakar Omar, 72 meninggal dunia pada jam 9.04 pagi Jumaat di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar, akibat masalah jantung.
Perkara itu disahkan oleh anak allahyarman, Mohd Zainuddin Abu Bakar yang berkata bapanya dibawa ke hospital berkenaan selepas berbuka puasa semalam, berikutan keadaannya jelas keletihan dan lemah sejak dua hari lepas.
“Arwah sebelum ini tidak menghidap sebarang penyakit, tetapi dalam dua hari ini dia letih, jadi ahli keluarga bawa dia ke hospital. Masa itu, walaupun kelihatan letih dia masih boleh bersembang seperti biasa.” – Katanya, dipetik dari BERNAMA.
Katanya lagi, ketika diperiksa, doktor mendapati jantung bapanya bengkak dan allahyarham seterusnya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia.
Jenazah allahyarham akan dimandi dan dikafankan di rumahnya di Jalan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang dan solat jenazah pula akan didirikan di Masjid Al Ghufran, Alor Setar, disusuli pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Alor Setar selepas solat Asar.
“Mohon doakan ayahanda kami diampuni segala khilafnya, ditempatkan bersama para solihin. Bagi pihak keluarga, kami memohon maaf atas segala salah silap almarhum ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini.” – Katanya.
Abu Bakar selama ini terkenal sebagai seorang pelakon serba boleh sejak tahun 1980-an, serta telah membintangi pelbagai drama dan filem.
Allahyarham juga pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Sri Angkasa 1983 – Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) pada 1983, Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio) (1990), dan Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin pada 2012.
Sumber: Astro Awani.
Banyak lagi maklumat dan jawatan kosong terkini di Channel Telegram Jawatan Kerja ==> https://t.me/jawatankerja