[TERKINI] Senarai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) untuk berkeluarga dan bujang

Bantuan Sara Hidup (BSH) akan diganti sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun 2021 dan akan memanfaatkan 8.1 juta rakyat dengan peruntukan sebanyak RM6.5 bilion.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu adalah melebihi RM5 bilion dengan 4.3 juta penerima di bawah BSH.

“Kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik seperti berikut: Pertama, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

“Manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih menerima bantuan sebanyak RM1,800,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambahnya, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM 2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan diberikan. Manakala, isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih pula akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

Tambah beliau, kerajaan turut akan membantu golongan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,000 dan RM5,000.

“Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula akan menerima bantuan RM350.

“Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun berbanding syarat sebelum ini iaitu 40 tahun,” katanya.

Related Posts